Pages

Monday 10 December 2012

Hati Seikhlas Kelapa Tua

Satu cerita untuk renungan bersama.  



Semua orang kenal dan tahu pula  gunanya. Sangat penting dan sangat berguna. Kewujudannya tidak dipeduli dan tidak  diendahkan dan kelapa tua tak pernah jadi topik perbincangan, tak pernah  dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalau kelapa tua ada emosi, tidak  ramai yang dapat merasai dan menyelam perasaannya.

Kelapa tua pula tidak  pernah susah hati kalau orang tidak pedulikannya. Dirinya terbuai-buai di  atas pokok, bila ditiup angin terasa nyaman sekali. Elok-elok kelapa  tergantung di pokoknya sambil menikmati keindahan buana, datang orang  menjoloknya dengan galah panjang. Bukan selesa kena jolok  macam tu. Bila tangkainya menjadi lemah setelah dijolok beberapa kali,  maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-berpusing ke bumi. Gugur itu pula  bukannya rendah, bukan setakat 5-10 kaki tapi sehingga 40-50  kaki. Bunyinya berdentum sampai ketanah. Kalau calang-calang buah, boleh  berkecai.Kalau kepala orang, boleh bersepai otak.
  Masalah kelapa tua bukan  setakat ini sahaja.  Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyak-koyak  dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan  sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk kedalam  kulit sabutnya. Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan,  lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat dan ini berterusan sehingga tinggal  tempurung. Dah tinggal tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya, keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu nak menilai seni  seperti ini.

Tempurung bulat yang cantik ditetak dengan parang dengan  sebegitu kuat hingga terbelah dua, di tengah-tengahnya. Maka tersemburlah dan  mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya  yang putih bersih. Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sampai tahap ini maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini  baru permulaan. Baru muqaddimah. Banyak lagi seksaan yang menanti.


Tak  cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya,  isinya yang putih bersih diparut dan dikukur pula hingga lumat.  Tempurungnya pula dibuang. Kadang-kadang dibakar. Bentuk asal kelapa tua  sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang lumat dikukur dan  diparut. Untuk menambah seksanya lagi , dituang pula air kedalam isi  parut, kemudian diramas-ramas dan diperah-perah. Kalau hendak dikirakan ini sudah  terkeluar dari batas-batas keperimanusiaan. Kemudian ditapis  menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah lain ditumis. Bila  dah cukup kuning dituanglah santan tadi dalam belanga. Maka berpanasanlah  santan hingga pecah minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak  ke seluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya:   "Gulai apa tu?  Sedap sangat baunya?
Orang di dapur hanya menjawab,"Kari ikan bawal." Kari  dapat nama. Ikan bawal dapat nama.  Orang kata,"Oh! sedap kari  ni."  "Oh! sedap ikan bawal ni."
Jasa kelapa tua tenggelam begitu  sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan  dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas  berbahang, tidak ada siapa ambil kira atau ambil peduli.
Alangkah indahnya  kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini.

Jasa-jasa bukan untuk dipuji  dan dipuja tetapi ta'abud kepada ALLAH. Biarlah jasa-jasa kita tidak  nampak di mata orang, tetapi ada dalam perhatian Tuhan!

No comments:

Post a Comment